Tuesday, November 30, 2010

Berita Baik - BNM dah LULUSKAN

PacificMas pilih Fairfax Asia jual ekuiti

Berita Harian
2010/08/30

PACIFICMAS Bhd, syarikat insurans tempatan memilih syarikat Fairfax Asia Ltd sebagai calon pembeli pegangan ekuiti dalam anak syarikat insurans milik penuhnya, The Pacific Insurance Bhd.

Syarikat itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia berkata, urus niaga bergantung kepada kelulusan Bank Negara Malaysia.

The Pacific Insurance adalah penyedia perlindungan insurans perubatan kedua terbesar di Malaysia.

Turut diumumkan pembatalan rundingan awal penjualan anak syarikat n kepada syarikat insurans berpangkalan di Singapura, Great Eastern Holdings Ltd.

“Kami sudah memaklumkan kepada pembeli berpotensi lain, Great Eastern Group, mengenai hasrat untuk tidak meneruskan rundingan penjualan berkenaan,” kata kenyataan itu.

Pada Julai lalu, PacificMas membatalkan rundingan penjualan The Pacific Insurance kepada syarikat insurans Jepun, Tokio Marine.

PacificMas sebelum ini berkata, ia menyasar untuk memuktamadkan rundingan penjualan ekuiti anak syarikatnya itu menjelang Oktober ini, iaitu tempoh yang ditetapkan Bank Negara kepada pemegang saham utamanya, Oversea-Chinese Banking Corp Ltd (OCBC) untuk menjual atau menggabungkan The Pacific Insurance.
Penganalisis berkata, perkembangan terbaru itu sekali gus mencerminkan aktiviti pengambilalihan dan penggabungan (M&A) di kalangan syarikat insurans tempatan dan asing yang semakin rancak berlaku sejak kebelakangan ini.

“Langkah M&A khususnya antara syarikat insurans akan mengukuhkan kedudukan perniagaannya dalam pasaran insurans negara yang semakin sengit persaingannya.

"Sejak beberapa bulan lalu, beberapa syarikat insurans seperti Pacific & Orient Bhd (P&O) dilaporkan berunding untuk menjual ekuiti dalam anak syarikatnya, Pacific & Orient Insurance Co kepada Prudential Holdings Ltd, manakala Jerneh Asia Bhd sudah memulakan rundingan serta sudah memuktamadkan penjualan ekuiti kepada syarikat insurans asing,” katanya.